Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

KUALA LUMPUR – Pembangunan dan penguatkuasaan Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk diguna pakai oleh semua universiti awam dilihat baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, KPT berkemungkinan boleh mempertimbangkan pelaksanaan dan pemakaian garis panduan terbabit kepada anak-anak syarikat di bawah seliaan KPT.

“Dalam usaha bagi memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pembiayaan dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173, KPT telah menyediakan Proses Permohonan Pelaburan dan Pinjaman di Peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan KPT.

“PAC berpandangan Manual Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh KPT dan UiTM dan dalam masa yang sama ianya tidak terikat dengan kerenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya hari ini membentangkan Laporan PAC Parlimen Terhadap Tindakan Susulan KPT dan UiTM Bagi Syor-Syor Laporan PAC Berhubung UiTM Holdings Sdn. Bhd.

“Laporan itu adalah bagi memaklumkan tindakan susulan yang diambil KPT, UiTM dan Uitm Holdings Sdn. Bhd (UHSB) terhadap syor-syor PAC Parlimen dalam Laporan PAC berkaitan UiTM Holdings Sdn. Bhd yang telah dibentangkan di Parlimen pada 18 Mac 2024 seperti yang dinyatakan dalam Arahan Perbendaharaan 304 (b) Tahun 2023.

“PAC telah mengadakan Prosiding Tindakan Susulan Pegawai Pengawal ke Atas Syor-syor PAC Parlimen bagi Laporan PAC Parlimen pada 9 Julai lalu.

‘Saksi yang hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Dr Shahrazat Ahmad, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin dan Penolong Pengurus Besar UHSB, Syed Azharuddin Al-Hanshi,” katanya.

Jelasnya, dalam setiap tindakan susulan terhadap syor laporan PAC, Jawatankuasa itu turut memberikan ulasan kepada setiap tindakan susulan berkenaan.

“PAC mengambil maklum usaha yang diambil KPT, UiTM dan UHSB bagi memastikan pengurusan aktiviti UiTM Holdings diuruskan dengan teratur, cekap dan berkesan serta mengikut amalan tadbir urus korporat yang baik.

“Lanjutan daripada syor-syor PAC mengenai isu dalam memastikan sistem kawal selia yang lebih efektif ke atas UHSB dan syarikat subsidiari supaya lebih menjana keuntungan dan mampu membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan, Jawatankuasa ini telah dimaklumkan dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh KPT dan UiTM,” katanya.

Mas Ermieyati menambah, PAC mengambil maklum dengan tindakan penambahbaikan yang diambil oleh KPT dan UiTM dalam memastikan kawal selia anak syarikat agar mampu menjanakan keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan. – MalaysiaGazette