KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diperdengarkan bagaimana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan membuktikan pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary dilakukan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri.
Ketika membacakan keterangan pembukaan kes saman fitnah Guan Eng terhadap Muhyiddin, peguam mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, anak guamnya akan mengemukakan saksi dan bukti pembatalan cukai itu tidak dilakukan ketika pentadbiran 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
PH menerajui negara dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri antara Mei 2018 dan Februari 2020.
Menurut Guok Ngek Seong berkata, tiada bukti yang menunjukkan bahawa anak guamnya menyebabkan pengecualian cukai terhadap yayasan itu ditarik balik.
Sebaliknya, dakwa mereka, pembatalan telah dilakukan ketika Muhyiddin bergelar Perdana Menteri.
“Ini adalah penipuan, tidak berasas serta tidak disokong, kami akan buktikan anak guam kami adalah ‘kambing hitam’ demi survival politik,” katanya pada hari pertama prosiding di sini hari ini.
Sebelum ini dalam tuntutannya, kata Guan Eng, Muhyiddin yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang telah mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama yang diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya.
Kenyataan itu juga diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Dakwa Guan Eng, kenyataan fitnah terhadapnya itu juga menuduhnya telah menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.
Guan Eng memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai. -MalaysiaGazette