Pengasas KK Mart Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyinggung perasaan umat Islam berikutan penjualan stoking yang mempunyai kalimah Allah di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan untuk melepaskan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui dilepas dan dibebaskan (DNA) atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Selain pasangan itu, mahkamah juga memberikan DNA ke atas tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan tersebut.

Semua induvidu ini telah mengemukakan representasi pada 17 Mei lalu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes tersebut.

Kee Kan dan Siew Mui yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas masing-masing satu pertuduhan, sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan, yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun pada Mac lepas.

Kesalahan itu dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lalu.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Kee Kan yang juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore turut didakwa atas pertuduhan sama.

Syarikat pembekal barangan kepada KK Mart, Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, didakwa satu pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Semua mereka berdepan peruntukan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit salahmengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama. – MalaysiaGazette