Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar selepas melakukan gimik perasmian Konvesyen Memertabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah di Malaysia ketika di Dewan Damar Sari, Kompleks F, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan menjelaskan pindaan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasa Undang-Undang Syariah tidak perlu dilakukan secara tergopoh-gopoh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan proses pindaan itu hendaklah dibuat dengan teliti mengambilkira pandangan semua pihak sama ada mahkamah syariah dan sivil termasuk pakar undang-undang antarabangsa.

“Saya merasa seperti Perkara 121 (1A) itu mengambil masa lebih setahun sebelum kita kemukakan padahal ia hanya kecil peruntukan pindaan iaitu meningkatkan kedudukan dan martabat mahkamah syarikah tetapi ia sukar dan ada perbalahan, tentangan, ia mengambil sedikit masa tapi yang ini kalau menurut pandangan saya harus lebih menyeluruh.

“Alang-alang kalau nak buat pindaan, buat pindaan yang betul-betul menyeluruh supaya kesungguhan kita dalam melaksanakan itu tidak dipertikai, tentunya dipertikai, dunia politik mana ada tidak ada pertikaian, tetapi sekurangnya jelas dengan hujah kita mencakup semua bidang yang mungkin,” katanya dalam ucapan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Untuk itu, beliau telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk menyelaraskan usaha itu.

“Ini bukan satu dalil untuk melengahkan atau untuk meremehkan usaha lalu, malah kita memang memanfaatkan tetapi memang ada kelemahan besar dalam peruntukan.

“Jadi bukan sahaja dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tapi harus rujuk pakar-pakar antarabangsa. Kefahaman itu perlu menyeluruh.

“Bahkan perbincangan juga harus melibatkan bukan sahaja Mahkamah Syariah tetapi juga bukan Mahkamah Sivil, pakar perundangan, hakim-hakim terutama Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) serta hakim-hakim kanan dalam Mahkamah Sivil supaya kefahaman itu lebih,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pindaan itu berkemungkinan akan dibentangkan dalam MKI pada bulan hadapan namun bergantung kepada perbincangan beliau dengan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Nazrin Shah.

“Setakat ini, saya tidak dapat lihat sebarang bantahan atau masalah sama ada Ketua Hakim Negara yang telah merestui usaha ini dan Majlis Raja-Raja yang telah diberikan taklimat awal yang memberikan perkenan cuma mereka minta supaya diteliti supaya tidak dilihat gopoh atau dalam pelaksanaan dilihat kelemahan ketara,” katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar turut mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku bekas Pengerusi MKI bagi meneruskan perbincangan mengenai pindaan terkait Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

“Pada minggu lalu, saya dengan Pengerusi baharu MKI, Sultan Nazrin. Kedua-dua setuju dengan kerangka awal yang dibentangkan oleh jawatankuasa pakar dan disampaikan kepada Dr Na’im.

“Saya ucap terima kepada Dr Na’im yang nampaknya menyegerakan proses ini dan Sultan Nazrin menyatakan kesediaan baginda untuk berbincang dalam mesyuarat (MKI) Ogos ini.

“Maknanya ada perubahan, kesediaan dan saya harap dari semua negeri, semua dalam kalangan melihat ini secara positif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast