Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh dibawa pegawai SPRM hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman membantu siasatan atas dakwaan menyeleweng dana awam untuk kegunaan peribadi dan tujuan perniagaan di Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Ekoran siasatan dakwaan penyelewengan dana derma awam membabitkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan kira-kira 20 akaun perbankan bernilai lebih RM740,000.

Menurut sumber, pembekuan itu adalah akaun milik individu serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.

“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) telah menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.

“Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.

Katanya, sitaan dan pembekuan akaun-akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

SPRM sebelum itu mendapat kebenaran menyambung reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang ditahan pada 10 Julai lalu kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Perintah sambung reman selama tiga hari sehingga esok dikeluarkan oleh Majistret Siti Zahirah Zaidon selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast