TAIPING – Penceramah agama bertauliah, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin yang memiliki simpanan peribadi sundang terbanyak di Malaysia, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan itu diberi setelah MBOR mengesahkan penceramah berkenaan memiliki 211 bilah sundang.
Anugerah MBOR disampaikan pada Pameran Sundang: Seni dan Kuasa di Muzium Perak baru-baru ini.
Pameran yang akan berlangsung selama enam bulan itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Ustaz Muhamad pada sidang akhbar memberitahu, sundang-sundang tersebut mula dikumpul sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila banyak aktiviti lain termasuk ceramah agama sangat terhad.
“Sejak PKP saya mula mengumpul sundang dan kebanyakannya diperoleh dari waris-waris yang tidak lagi mahu menyimpan sundang tersebut.
“Ini satu pengiktirafan yang amat baik daripada MBOR. Pada masa ini saya masih terus mengumpul sundang-sundang baharu,” katanya.
Beliau berkata, koleksi sundang itu antara lain bagi memastikan khazanah dan sejarah orang Melayu dapat terus dipelihara dan bagi pengetahuan generasi-generasi muda di negara ini.
“Tujuan koleksi sundang ini bagi memastikan khazanah orang Melayu terus terpelihara. Harapan saya, ia dapat dikongsi bersama oleh generasi-generasi muda,” katanya.
Menjawab pertanyaan, beliau berkata, antara sundang yang dimiliki itu berusia sekitar kurun ke-15.
“Sundang berusia sekitar kurun ke-15 itu adalah antara yang tertua dimiliki dan menjadi daya tarikan utama,” tambahnya.
Sempena pameran tersebut, turut diadakan ialah demonstrasi seni mempertahankan diri melibatkan beberapa pertubuhan seni bela diri.
Sementara itu, Ustaz Muhamad memberitahu, selain pameran, pihaknya dengan kerjasama Muzium Perak turut mengadakan pertandingan fotografi kreatif.
“Kita juga menyediakan hadiah-hadiah menarik kepada pemenang berupa sundang baharu,” katanya. – MalaysiaGazette