JASIN – “Saya tak percaya benda bukan-bukan (bunuh) yang dibuat ini, tapi bila dengar berita dia (suspek) dah bawa polis ke lokasi kejadian saya hanya mampu berserah pada Allah.
“Kalau salah tetap salah dan kena terima hukuman tapi mungkin pihak hakim ada pertimbangan kerana terdapat juga unsur lain dalam kejadian ini,”.
Itu luahan warga emas berusia 64 tahun yang juga bapa kepada suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ketika ditemui di rumahnya di Jalan Parit Sidang Seman Benteng, Sungai Rambai di sini petang tadi.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayat mangsa yang dipercayai dibunuh individu dikenalinya kira-kira pukul 6 petang semalam.
Menurut bapa suspek, walaupun terkejut dengan berita yang berlaku terhadap anak ke lapan dari 10 beradik itu yang bertugas sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal di Perak, dia menerimanya dengan reda.
“Kali terakhir saya jumpa dengan anak kira-kira 11 pagi Khamis lalu sehari selepas dia balik ke Melaka Rabu lalu dan bermalam di rumah mentuanya di Kampung Pulau Kelapa.
“Waktu tiba di rumah saya sekitar 11 pagi Khamis, wajahnya kusut serta tidak ceria sebagaimana kebiasannya sebelum mendapat panggilan daripada balai polis di Slim River memintanya hadir sebelum pukul 3 petang,” katanya.
Menurut warga emas itu dia tahu, anaknya yang berusia 26 tahun mempunyai isteri dan seorang bayi berusia lapan bulan sudah lama berkawan dengan Nur Farah Kartini sejak wanita itu masih belajar sekitar dua atau tiga tahun lalu.
“Waktu balik di sini pun, kalau ada orang nak sewa kereta, memang wanita itu akan memaklumkannya kepada anak saya tapi saya tak tahu pula sejauh mana mereka berkawan.
“Apa yang pasti, anak saya memang suka menolong orang lebih-lebih lagi kerjanya sebagai anggota polis dan menjadi harapan keluarga sejak menyertai polis lebih empat tahun lalu,” katanya.
Sehubungan itu dia berharap orang ramai terutamanya netizen tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan mereka sekeluarga sebaliknya menyerah sepenuh kepercayaan kepada pihak polis dan undang-undang.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan suspek kes kematian Nur Farah Kartini dibawa ke lokasi penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit di Sri Keledang, Hulu Selangor, di sini, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Suspek yang berbaju reman berwarna oren dibawa menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna merah turut diiringi empat buah kenderaan lain.
Sepanjang kira-kira 15 minit di lokasi itu, suspek dilihat menunjukkan kawasan semak-samun berhampiran anak sungai dipercayai kawasan sebenar mayat Nur Farah Kartini ditemukan.
Terdahulu, awal hari ini, suspek yang berusia 26 tahun itu direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor bagi membantu siasatan kes kematian Nur Farah Kartini.
Ia ekoran penemuan mayat mangsa yang dipercayai dibunuh individu dikenalinya di ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira pukul 6 petang semalam.
Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan. – MalaysiaGazette