KUALA LUMPUR – Hukuman yang dijatuhkan terhadap salah seorang pempengaruh kontroversi, Shalini Periasamy atas lebih dikenali sebagai ‘Alpha Quinn’ dalam kes buli siber Rajeswary Appahu atau dikenali Esha oleh Mahkamah Majistret hari ini disifatkan agak ‘lembut’.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Thinalan T Rajagopalu, mahkamah telah memutuskan hukuman denda RM100 terhadap Shalini dan kegagalan membayar boleh dihukum penjara tujuh hari manakala seorang lagi yang terbabit dengan kes buli Esha pula berdepan hukuman penjara 1 tahun atau denda RM50,000.
“Shalini telah didapati bersalah dan bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 iaitu membayar denda sebanyak RM100 manakala seorang lagi lelaki yang juga terlibat dengan kesalahan buli Esha, B. Sathiskumar pula didakwa bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika sabit salah berdepan hukuman RM50,000 atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya.
“Soalnya, mengapa Shalini juga tidak didakwa salah menggunakan Akta Komunikasi juga? Mungkin juga pempengaruh ini mempunyai pasukan handal mewakilinya. Tuduhan terhadap wanita bawah Akta Kesalahan Kecil 1955 ini agak lembut dan tidak berkesan.
“Buli siber sudah begitu berleluasa dalam negara ini malah wujud begitu banyak akaun media sosial palsu yang langsung tiada kawalan. Golongan ini mampu mengeluarkan pelbagai komen jahat dan menghina yang akhirnya meragut nyawa mangsa seperti Esha,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Thinalan, sesuatu perlu dilakukan terutamanya dalam menggubal atau meminda akta yang sedia ada bagi memastikan isu seperti yang berlaku kepada Esha itu dijadikan teladan dan bukannya menganggap insiden itu seperti acuh tidak acuh.
Jelasnya, perlu ada undang-undang ketat yang bersifat pengajaran serta menggerunkan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan buli siber seperti ini pada masa hadapan.
“Kisah Esha ini bukan kali pertama sebaliknya banyak seumpama ini, mangsa yang terkesan dengan buli ada kalanya bertindak luar dugaan seperti membunuh diri dan sebagainya. Sehingga bila kita hanya tengok atau beri kenyataan demi kenyataan? Sesuatu perlu dilakukan dan perlu dilaksanakan dengan secepat mungkin.
“Kita tidak mahu lagi nyawa melayang lagi-lagi aktivis-aktivis muda yang memperjuangkan pelbagai isu berkaitan masyarakat di negara ini. Kita bebas beri pandangan dan pendapat tetapi dengan cara profesional,” tegasnya.
Thinalan mengulas tentang dua individu didakwa di dua mahkamah hari ini berkait kematian Esha yang ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli siber, 5 Julai lalu.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan seramai 11 saksi termasuk ahli keluarga mangsa selesai dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan polis dalam kes tersebut. -MalaysiaGazette
Pemandu lori mengaku salah hantar hantaran lucah kepada Esha