KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu tentang satu paparan klip video yang meletakkan muka Datuk Seri Anwar Ibrahim serta suara meniru perdana menteri itu bagi mengajak orang ramai membuat pelaburan saham.
RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, klip video itu boleh mempengaruhi penduduk di luar bandar untuk melabur kerana merekan akan berasa yakin apabila wajah dan suara mirip perdana penteri yang dipaparkan.
“Saya terkejut melihat video ini yang mana gambar Perdana Menteri kita ada, suaranya mirip dan ditiru dengan mempelawa rakyat membuat pelaburan saham.
“Kalau saya orang kampung atau di kawasan pedalaman dan saya melihat video ini, saya akan melabur mungkin menggunakan wang simpanan atau saraan yang bertujuan untuk memperoleh keuntungan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Rayer berkata, pihaknya tertarik akan RUU berkenaan yang sudah diperincikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo berhubung aspek terbabit.
“Ia dengan merujuk pindaan seksyen 4 3 (b) membabitkan data biometrik dan data peribadi yang terhasil daripada pemprosesan teknikal berhubung ciri fizikal, fisiologi dan tingkah laku seseorang,” katanya. – MalaysiaGazette