Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak bercakap ketika sidang media di Pejabat UMNO Tanjung Karang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2024

TANJONG KARANG – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar diingatkan tidak mengaitkan Datuk Seri Najib Razak atau Bossku sebagai alasan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak menegaskan, Noh boleh terus menyertai Bersatu tanpa memberi alasan kononnya beliau berasa simpati dengan nasib yang menimpa Najib.

“Bila Bossku tidak dapat pertimbangan dalam mahkamah, jangan letakkan alasan itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya rasa itu tidak adillah kepada beliau.

“Mudah saja, kalau nak masuk Bersatu, masuklah, tak payah letak Bossku sebagai alasan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO Bahagian Tanjong Karang, di sini, malam ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu mengumumkan untuk menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta, 4 Julai lalu.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu memohon menyertai Bersatu secara dalam talian pada 3 Julai, tanpa diketahui mana-mana pihak dan sijil keanggotaan juga diterima serta-merta.

Tindakan Noh itu dibuat setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib mengenai kebenaran kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Sulaiman turut mempersoalkan sikap Noh yang memberi alasan sebegitu sedangkan ketika Najib dihukum penjara, beliau merupakan salah seorang menteri ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bossku ke penjara ini sewaktu beliau jadi menteri, waktu Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, bukan zaman Datuk Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya lihat supaya kita berlaku adil, beliau boleh mempengaruhi Perdana Menteri (Ismail) dengan meminta penangguhan beberapa bulan hukuman kepada Datuk Seri Najib,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast