Mohd Farriza Azmi Abdullah

SUNGAI BULOH – “Dia seorang yang ceria, dan tidak pernah nampak seperti apa-apa masalah,” kata Mohd Farriza Azmi Abdullah, 28, abang kepada arwah Nur Farah Kartini.

Sekiranya arwah mempunyai masalah pun, dia tidak akan berkongsi ceritanya kepada keluarga.

“Dia rapat dengan mak dan abang-abang dia. Kalau pasal lelaki itu (suspek direman hari ini) saya tidak tahu apa-apa.

“Kali terakhir dia pulang ke Sarawak pada hari raya lalu. Dia jarang berjumpa dengan saya.

“Dia sangat baik dan datang ke sini pun bekerja untuk membantu keluarga di kampung,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Syeril Norsyuhada Suhaimi, 29, berkata, buat masa ini mereka hanya menunggu laporan forensik daripada pihak polis.

Dia juga berharap orang ramai termasuk pihak media tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengguris hati keluarga.

Semalam, Nur Farah Kartini, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati di ladang sawit di Hulu Selangor.

Mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemukan kira-kira 6 petang dan dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim.

Katanya lagi, polis telah menahan seorang lelaki merupakan anggota berpangkat lans koperal bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek berusia 26 tahun kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette