Sidang media Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk mendapatkan laporan tindakan susulan terhadap syor dikemukakan kepada mereka.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya perlu memberi masa  selama tiga bulan sebelum meneliti laporan itu untuk tindakan susulan.

“Sebab kita baharu bentangkan pada minggu lepas, jadi kita akan tunggu selama tiga bulan dan panggil mereka membuat laporan tindakan susulan terhadap syor dikemukakan oleh pihak PAC,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

PAC turut meminta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membentangkan dapatan audit bebas terhadap HRD Corp kepada pihaknya September depan.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, PAC akan melaksanakan prosiding bagi empat isu dibangkitkan melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 bermula bulan ini hingga 1 Ogos depan.

Beliau berkata, ia membabitkan prosiding Pengurusan Air Negara di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRESS) pada 29 Julai ini.

Katanya, bagi prosiding Pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula, ia adakan diadakan pada 30 Julai ini.

“Prosiding MARA Incorporated Sdn Bhd di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 31 Julai dan prosiding Majlis Profesor Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), 1 Ogos ini,” katanya. – MalaysiaGazette