Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke prosiding Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada Ogos depan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Mohamed Khaled akan bersama tiga bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT sebagai saksi pada prosiding itu nanti selepas ke semua mereka diminta hadir pada prosiding pertama bulan lalu.

Beliau berkata, mereka adalah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raha Mohamed Noor; bekas Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman; dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar.

“Prosiding LTAT dijadualkan disambung pada 7 Ogos ini selepas PAC mengadakan prosiding pertama pada 20 Jun lalu,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Mac lalu, Mohamed Khaled berkata, beliau sedia memberi penjelasan berhubung kedudukan kewangan LTAT kepada PAC berhubung isu baki negatif dalam rizab tabung LTAT yang direkodkan sejak tahun 2020 hingga 2022.

Jelas beliau, Laporan Ketua Audit Negara 2022 itu hanya merujuk kepada satu daripada tiga tabung rizab lembaga berkenaan.

Sebelum itu, PAC memberitahu akan memanggil tiga bekas pengurusan tertinggi LTAT bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentang pada Mac lalu. – MalaysiaGazette