MELAKA – “Kali terakhir saya berhubung dengan adik Khamis lalu dan dia juga ada cakap mungkin akan hantar penumpang ke Teluk Intan, Perak, namun terus gagal dihubungi sehingga ke hari ini,”.
Itu kebimbangan disuarakan Saiful Azwan Dahlan, 38, mengenai kehilangan adiknya, Syahrul Ashraf, 33, yang juga pemandu e-hailing selepas gagal dihubungi keluarga termasuk isterinya sejak lima hari lalu.
Menurut Saiful Azwan, adiknya itu tidak menunjukkan perubahan sikap atau mengadu sebarang masalah ketika perbualan melalui aplikasi WhatsApp, Khamis lalu.
“Selepas itu saya tidak dapat menghubunginya lagi sehingga ke hari ini walaupun sebelum itu dia ada maklum kemungkinan akan menghantar penumpang ke Teluk Intan, Perak.
“Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pandan Indah Ahad lalu dan berharap orang ramai dapat membantu menyalurkan maklumat kepada kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, adiknya tidak pernah bersikap demikian sebelum ini malah tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga.
“Sehingga ke hari ini, isteri dan empat anaknya berusia 9 hingga 2 tahun sentiasa menanti kepulangannya di rumah mereka di Pandan Indah, Ampang.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Syahrul Ashraf diharap dapat membantu menghubungi saya di talian 017-6328457,” katanya. – MalaysiaGazette