Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dalam satu pemeriksaan sebuah lori bonded di sebuah stesen minyak di Jalan Lima Kedai, Gelang Patah di sini semalam.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, serbuan pada pukul 1 petang itu menahan seorang lelaki berusia 43 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa tiga tangki yang mengandungi 3,000 liter diesel yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jual beli barangan bersubsidi tanpa kebenaran yang sah.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan ke sebuah lokasi untuk menghantar diesel berkenaan. Suspek telah dibawa ke IPD Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati tangkapan itu merupakan kesalahan pertama suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

Beliau meminta orang awam sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, dadah dan sebagainya untuk berkongsi dan salurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah IPD Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486. -MalaysiaGazette