JOHOR BAHRU – Seorang bekas pengurus sebuah hotel di Singapura kini trauma selepas halaman rumah bapanya di Grisek, Ledang dibakar ah long yang bertindak ganas menuntut ‘pampasan’ daripadanya selepas membuat pinjaman.
Menurut mangsa, Zhi Wei, 42, yang mendakwa kini hidup dalam ketakutan, perbuatan ceti haram itu tidak berperikemanusiaan dan mujur tiada ahli keluarganya yang cedera dalam kejadian tersebut pada 8 Julai lalu.
“Tidak disangka saya menjadi buruan ceti haram yang bukan mahu menuntut hutang sebaliknya menuntut pampasan atas alasan tidak masuk akal.
“Lebih malang lagi ahli keluarga saya juga terlibat apabila mereka membakar bahagian depan rumah kami,” katanya yang masih belum berkahwin.
Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat aduan berkenaan masalah tersebut kepada Pegawai Aduan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Mok Meng Haw di Johor Bahru di sini hari ini.
Zhi Wei berkata, masalah itu bermula apabila dia meminjam SGD$$300 (RM1,044) daripada ceti haram pada April lalu bagi menampung perbelanjaan selepas membantu ahli keluarga yang berdepan dengan masalah kewangan.
Dakwanya, selepas membayar hutang SGD$300 dia dihubungi ceti haram kedua yang menawarkan pinjaman SGD$500 (RM1,741) dan bersetuju membuat pinjaman baharu.
Katanya, tidak sampai sebulan dia melunaskan pinjaman dengan ceti haram kedua berkenaan dengan membayar balik SGD$600 (RM2,089).
Dia berkata, tanpa diduga ceti haram pertama yang memberikan pinjaman menghubunginya semula dan mendakwa akaun bank mereka dibekukan selepas saya melakukan transaksi pembayaran.
“Mereka menuntut SGD$11,000 (RM38,305) sebagai pampasan sebelum ceti haram kedua itu tampil membantu dengan berbincang dan berjaya mengurangkan nilai ganti rugi kepada SGD$5,500 (RM19,152) serta menawarkan pinjaman bagi membayar pampasan itu.
“Saya tidak fikir panjang dan sekali lagi meminjam dengan ceti haram kedua itu bagi elak diganggu,” katanya.
Zhi Wei mendakwa berjaya membayar balik hutang SGD$5,500 itu dengan menyerahkan wang tunai kepada pengutip hutang ceti haram berkenaan.
“Saya lega kerana tidak dibebani hutang lagi. Saya membayar wang itu hasil menjual pakej pelaburan di sebuah syarikat insurans,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, masalah baharu timbul apabila dia diminta untuk membayar pampasan kerana pengutip hutang berkenaan yang berurusan dengannya ditahan polis.
“Mungkin mereka reka cerita sebagai alasan untuk mendapatkan bayaran pampasan SGD$10,000 (RM35,000) secara mudah.
“Apabila saya tidak mahu layan, mereka bertindak membakar halaman rumah bapa saya di Grisek. Mereka juga ugut mahu mengancam keselamatan kami sekeluarga walaupun mereka sedar saya tidak memiliki wang untuk membayar pampasan dituntut kerana sudah hilang pekerjaan.
“Majikan meminta saya untuk berhenti kerja selepas sindiket berkenaan menimbulkan gangguan termasuk di tempat kerja,” katanya.
Apabila tidak tahan diugut dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada 2 Julai manakala ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Grisek pada 8 Julai selepas kediaman mereka dibakar.
Sementara itu, Mok Meng berkata, mangsa membuat pengaduan bagi memupuk kesedaran ramai tidak terjebak dengan peminjaman wang daripada ceti haram.
“Mangsa kehilangan pekerjaan dan kini meneruskan kehidupan dalam ketakutan, harap dia tidak diganggu sindiket berkenaan.
“Malah kami juga berharap pihak polis menjalankan siasatan dan mencekup sindiket yang mengancam keselamatan ahli keluarga mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette