GEORGE TOWN – Isu pertukaran nama George Town kepada Tanjung Penaga tidak wajar dijadikan isu susulan George Town telah dimasukkan secara rasmi ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, nama Tanjong sebenarnya telah lama diangkat ke Dewan Rakyat sebagai nama kawasan Parlimen.

“Oleh itu, tiada isu penukaran nama yang timbul berkaitan dengan nama tempat tersebut.

“Selain tersenarai dalam UNESCO, George Town juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan terkenal di Malaysia yang telah menarik pelancong dari seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hon Wai berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang meminta kerajaan negeri mempertimbangkan semula nama George Town kepada nama asalnya iaitu Tanjung Penaga sekali gus melambangkan identiti Malaysia itu sendiri.

Semalam, Muhammad Fawwaz berkata, nama asal sesuatu tempat yang melambangkan identiti negara wajib diketengahkan, bukan ‘identiti yang diberikan penjajah’.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan susulan pengeluaran klip video promosi George Town Festival 2024 (GTF) yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India. – MalaysiaGazette