Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diiringi Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib menyampaikan anugerah pada Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA Tahun 2023 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 17 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada gerakan daripada ahli-ahli Parlimen gabungan itu untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau belum dapat menghidu sama ada wujud gerakan untuk berpaling tadah seperti itu berlaku dalam BN.

“Tidak ada (gerakan tarik sokongan) setakat ini belum ada lagi,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelepasan peserta program Insiatif Malaysia-China Institusi (MCI) di sini hari ini.

Ahmad Zahid ditanya media sama ada wujud gerakan baharu untuk keluar daripada BN dalam menyokong Anwar yang memimpin kerajaan kini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis bertindak keluar UMNO dan menyokong Pas dalam Perikatan Nasional.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pas, Tan Sri Annuar Musa pada 29 Jun lalu mendakwa 11 ahli Parlimen BN diikuti wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan akan mengalih sokongan sekiranya Johari tidak mengosongkan enam kerusi wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah.

Ia susulan daripada keputusan Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kedudukan enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diyakini tidak akan berlaku.

Di Dewan Rakyat, Johari berkata, keputusan dikekalkan selepas melakukan ‘siasatan’ termasuk membaca semua kenyataan berkaitan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kepimpinan UMNO menyerahkan kepada Ketua Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh untuk membuat keputusan mengenai tindakan Muhamad Jailani yang sah menyertai Pas.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka dan saya serahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Melaka dan tindakan yang akan dilakukan kita akan bawa kepada Majlis Kerja Tertinggi,” katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Agung Pas. Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Muhamad Jailani tidak perlu mengosongkan kerusi memandangkan kedudukannya sebagai ADUN Rembia tidak tergugur kerana penyertaan ke dalam Pas dibuat sebelum pindaan Perlembagaan Melaka dilakukan. – MalaysiaGazette