Rakan Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, tidak dapat menahan sebak ketika jenzah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan Pekan, Pahang. Foto SYADILA AMARI, 18 JULAI 2024.

PEKAN – Sepanjang hayat  perkenalan dengan Nur Farah Kartini Abdullah – beliau dikatakan memiliki akhlak baik selain menjaga solat dan ibadahnya.

Rakannya, Nur Syafiq Ikhwan Safarudin, 27, berkata, Nur Farah Kartini berusaha menjaga solat walaupun sibuk dengan kerja kemasyarakatan yang dilakukan bersama rakan seperjuangannya.

”Saya pernah bermusafir dengannya semasa itu dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau berusaha mencari surau untuk menunaikan solat walaupun sudah sampai terlewat.

”Beliau juga sentiasa mengingati kawan-kawan untuk menjaga solat walaupun dalam keadaan bergurau yang bersahaja tetapi serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis di sini hari ini selepas pengebumian bekas penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris itu.

Bekas rakan sepengajian UPSI, Nur Syafiq Ikhwan Safarudin bercakap pada media selepas jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan Pekan, Pahang. Foto SYADILA AMARI, 18 JULAI 2024.

Tambah Syafiq yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau,  rakannya itu memiliki akhlak yang baik, sentiasa memberikan senyuman kepada semua orang, mudah didekati serta disenangi oleh rakan di kampus.

”Farah yang kami kenali ketika belajar dahulu memang sentiasa memberikan senyuman  dan senyuman yang terakhir kami tengok itu sama seperti dahulu.

”Dialah yang tak pernah tak tersenyum, ada masalah macam mana pun, dia kata kita kena senyum sebab dengan tersenyum masalah kita akan selesai.

“Sebab itu dia ada masalah, tiada masalah pun dia memang tersenyum,” imbasnya.

Terdahulu jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan pada 5.20 petang tadi di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan dekat sini.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast