Polis membawa penjawat awam yang ditahan berhubung kes pembunuhan Nur Farah Kartini tiba di mahkamah bagi permohonan reman di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2024.

SUNGAI BULOH- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon untuk melanjutkan reman anggota polis disyaki terlibat kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang tamat Isnin depan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Bernama berkata ini susulan siasatan masih lagi di peringkat awal dan terdapat banyak aspek yang belum diselesaikan.

Semalam Bernama melaporkan 26 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu termasuk rakan Allahyarham dan  rakan sekerja suspek.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, polis menahan seorang anggota polis berusia 26 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hari ini jenazah Nur Farah Kartini dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.

— BERNAMA