Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa merasmikan pada Majlis Pra Pelancaran Floria 2024 di Presint 2, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL 2024.

PUTRAJAYA – Festival Royal Floria Putrajaya 2024 menyasarkan lebih sejuta pengunjung pada penganjuran kali ke-13 pada 22 Ogos hingga 1 September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, penganjurannya bertepatan dengan matlamat perancangan dan pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berkonsepkan ‘intelligent garden city’ yang dengan menggabungkan elemen moden, pintar dan alam semula jadi yang diwarnai dengan kepelbagaian flora yang terdapat di negara ini.

Katanya, festival itu bukan sahaja menyajikan keindahan bunga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di dalam dan luar negara kepada para pengunjungnya, malah ia turut menambah seri keindahan seni bina di Putrajaya.

“Bertemakan Raikan Bersama atau Celebrate Together, penganjuran Royal Floria amat bertepatan dengan semangat merayakan Bulan Kebangsaan, apatah lagi Putrajaya sekali lagi akan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Saya juga difahamkan, festival ini telah disusun atur untuk menempatkan lebih 30 lokasi pameran taman dengan penyertaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, agensi korporat, swasta, persatuan dan pengusaha bunga serta sekolah dan institusi pengajian tinggi, sekaligus akan menjanjikan satu reka bentuk pameran taman yang lebih menarik di tapak penganjurannya iaitu di Presint 2 ini nanti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Pra Pelancaran Festival Royal Floria Putrajaya 2024, di sini, hari ini.

Menurut Zaliha, beliau yakin penganjuran Royal Floria Putrajaya 2024 mampu mencapai satu tahap yang lebih tinggi dalam melonjakkan semula ekonomi terutama industri nurseri dan pembungaan di negara ini.

“Pada tahun ini, kita pilih bunga Petunia sebagai bunga tema. Sehubungan itu, festival ini akan mempamerkan lebih 700,000 bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna dan guna yang saya percaya, pasti ada di antaranya tidak pernah kita lihat sebelum ini.

“Penganjuran acara besar dan bertaraf antarabangsa seperti ini membuktikan komitmen yang berterusan Jabatan Wilayah Persekutuan melalui agensinya, Perbadanan Putrajaya untuk terus membangun dan memajukan Putrajaya sebagai sebuah bandar raya contoh yang mampan dan sejahtera, ceria dan bertenaga, serta mampu memenuhi keperluan sosio ekonomi warga dan pengunjungnya,” ujarnya.

Sementara itu, Zaliha berkata, kepelbagaian tarikan dan kemudahan yang dimiliki Putrajaya membuka potensi besar sebagai destinasi pelancongan yang wajib dilawati termasuk menerusi komponen penganjuran acara.

“Berdasarkan data tahun 2023 yang lalu, kita mendapati seramai 3.2 juta pengunjung acara telah direkodkan mengunjungi pelbagai acara di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa yang dilangsungkan di Putrajaya iaitu kenaikan lebih 50 peratus berbanding 2 juta pengunjung yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, iaitu tahun 2022.

“Jumlah kehadiran pengunjung ke Royal Floria Putrajaya juga sangat menggalakkan sepanjang penganjurannya membuktikan bahawa festival ini merupakan salah satu signature event dan produk pelancongan negara yang dinanti-nantikan.

“Saya difahamkan seramai lebih sejuta pengunjung telah direkodkan bagi penganjuran Royal Floria Putrajaya pada edisi lepas, iaitu pada tahun 2022 dan kali ini saya menyasarkan lebih 1 juta pengunjung akan hadir ke acara ini.

“Sehubungan itu, kita mestilah membuktikan pada dunia bahawa kita mampu meletakkan Putrajaya dalam kalendar pesta bunga-bungaan di peringkat dunia serta setanding dengan penganjuran pesta bunga-bungaan dan taman di negara-negara Eropah, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat,” ujar beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast