KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kehilangan ahli keluarga atau kenalan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, dakwaan orang awam perlu menunggu sehingga 24 jam selepas kehilangan ahli keluarganya untuk membuat laporan adalah mitos yang disebarkan tanpa asas.
“Tidak ada sebarang ketetapan atau undang-undang yang memaksa anda bersabar, bertenang atau bertahan dalam tempoh panjang.
“Ada yang kata orang perlu tunggu sampai 24 jam, 48 jam hingga 72 jam dalam keadaan gementar serta gemuruh. Ini hanyalah sekadar mitos semata,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau menyatakan demikian bagi mengluas pandangan warga net yang mempersoalkan tempoh masa 24 jam diperlukan untuk membuat laporan polis berhubungan kehilangan seseorang.
Perkara tersebut timbul apabila kehilangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati di ladang sawit di Hulu Selangor.
Mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang, 15 Julai lalu.
Kes yang mendapat liputan meluas itu, termasuk warga net, mencetuskan persoalan tempoh yang panjang diperlukan untuk membuat laporan polis berhubung kehilangan orang yang mana ia mungkin memberi risiko kepada individu yang hilang itu.
Menurut Razarudin, sekiranya usaha mencari dan menghubungi telah dilakukan namun individu yang dicari masih masih gagal dikesan, laporan polis boleh dilakukan.
Tambah beliau, ia adalah langkah awal bagi mengelakkan insiden buruk berlaku terhadap individu yang dilaporkan hilang itu.
Sementara itu, Razarudin menasihatkan masyarakat supaya memainkan peranan dengan menyalur maklumat mengenai kes orang hilang kepada polis. – MalaysiaGazette