Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – UMNO bukan sahaja sukar menawan kerusi Perikatan Nasional (PN) di Sungai Udang bahkan berpotensi kehilangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelebang, Paya Rumput, Pantai Kundor pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, kegagalan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merasai denyut nadi rakyat dengan tekanan ekonomi bakal meranapkan tiga kerusi milik UMNO itu.

“Yang Berhormat Tanjung Bidara kena lihat realiti rakyat sekarang, adakah beliau tidak mempunyai perisik yang mampu membaca sentimen rakyat ketika ini?

“Apakah Yang Berhormat Tanjung Bidara tidak baca dengan teliti (politik setempat), silap hari bulan tiga kerusi yang dipegang itu terlingkup termasuk Sungai Udang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ab Rauf selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berhasrat untuk merampas kerusi DUN Sungai Udang pada PRU-16  sekaligus menjadikan seluruh kawasan Parlimen Tangga Batu milik UMNO.

Ab Rauf menyatakan hasrat UMNO dan BN Melaka itu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu 2024 di Melaka pada Ahad lalu.

Pada PRU-15 lalu, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Dr Mohd Aleef atas tiket PN dengan majoriti 530 undi berbanding calon BN, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang memperoleh 6,259 undi.

Dalam pada itu, Aleef juga mencabar Ketua Menteri itu untuk membubarkan DUN Melaka bagi memberi laluan kepada PRN16 susulan hasratnya yang mahu merampas Sungai Udang daripada PN.

“Saya cabar Yang Berhormat Tanjung Bidara ini, bubar DUN (Melaka) sekarang dan kita lawan dalam PRN16. Tak guna berkokok sebegini dan (tawan Sungai Udang) itu mimpi percuma,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast