KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan menzahirkan sokongan kepada calon daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Menurut Setiausaha Angkatan Muda Harapan, Omar Mokhtar A. Manap, pihaknya bersedia untuk membantu kempen calon BN dan seterusnya memastikan kemenangan Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan.
“Angkatan Muda Harapan turut menyeru kepada semua jentera Pakatan Harapan di setiap peringkat untuk bersedia memberi sokongan dan kerjasama kepada jentera Barisan Nasional di dalam kempen di PRK DUN Nenggiri,” katanya dalam kenyataan.
Angkatan Muda Harapan turut menyokong tindakan yang telah diambil Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ke atas Ahli Parlimen Machang Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menurutnya, tindakan penggantungan selama enam bulan terhadap Wan Ahmad Fayhsal seharusnya menjadikan pengajaran kepada semua ahli Parlimen untuk berbahas dengan fakta yang jelas dan sahih tanpa cuba untuk mengelirukan Dewan Rakyat.
“Wakil-wakil rakyat yang telah dipilih seharusnya menjadi suri teladan kepada masyarakat khususnya anak-anak muda dalam membawa politik matang yang berbahas menggunakan fakta yang sahih.
“Dan bukan politik murahan yang hanya meruntuhkan digniti sebagai seorang ahli Dewan Rakyat tanpa usul periksa,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen telah dipilih bagi mengetuai Angkatan Muda Harapan.
Pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Angkatan Muda Harapan Bilangan 2 Tahun 2024 yang bersidang semalam.
Penyusunan semula barisan pimpinan utama di peringkat pusat dan negeri bagi memperkasa kekuatan jentera pemuda Pakatan Harapan
Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim, Ketua Pemuda Amanah, Senator Hasbie Muda dan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang dipilih sebagai Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan. – MalaysiaGazette