Lelaki warga emas yang parah selepas kereta dipandunya berlanggar dan terperosok bawah treler di Ulu Tiram, Johor Bahru, kelmarin, dilaporkan meninggal dunia hari ini di HSI.

JOHOR BAHRU – Warga emas yang cedera parah selepas kereta dipandunya berlanggar bahagian tengah sebuah treler dan terperosok di bawahnya dalam kejadian di Ulu Tiram di sini kelmarin, meninggal dunia hari ini.

Berita berkenaan dimaklumkan anak saudara mangsa menerusi satu hantaran dalam satu akaun Facebook atas nama Aaisyah Humairah.

“Pakcik saya yang dalam kereta wira sudah meninggal. Semoga Allah merahmati dan menempatkan arwah bersama orang-orang yang beriman. Yang mengenali arwah mohon maaf jika ada salah silap pakcik saya,” tulisnya dalam hantaran berkenaan hari ini.

Difahamkan mangsa menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Kelmarin, mangsa, Ramli Abdullah yang berusia lingkungan 60 tahun cedera parah dalam kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pada pukul 11.30 pagi.

Mangsa yang cedera di bahagian muka dikeluarkan orang ramai sebelum pihak bomba tiba sebelum dihantar ke HSI di sini.

Detik-detik kemalangan terbabit turut dirakam oleh pemandu lori berkenaan yang membuat video di bahagian tempat duduk pemandu ketika dia cuba keluar dari simpang terbabit.

Menerusi klip terbabit, pemandu kenderaan berat itu dilihat sedang memberikan arahan kepada kenderaan lain untuk memberikan laluan.

Bagaimanapun, tidak sampai beberapa saat kemudian, kereta dipandu mangsa didapati meluru laju dan tidak sempat untuk membrek sebelum terperosok di bawah treler berkenaan yang membawa muatan besi panjang.

Menerusi perkongsian ahli keluarga terdekat, ketika kejadian, mangsa yang difahamkan mengalami penyakit buah pinggang sedang memandu pulang selepas mendapatkan rawatan dialisis. – MalaysiaGazette