IMBAS KEMBALI. Anggota polis membawa suspek bagi membantu proses pencarian bahan bukti di lokasi kawasan ladang kelapa sawit susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Polis kini sedang menganalisa kad sim milik suspek kes pembunuhan Allahyarhamah Nur Farah Kartini yang dipercayai boleh membantu sebagai bahan bukti kes tersebut.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus ketika dihubungi hari ini.

“Ya, polis sudah menemukan kad sim milik suspek untuk proses analisa,” katanya hari ini.

Beliau juga memaklumkan polis telah menjalankan proses analisa ke atas sebuah kereta jenis Toyota Vios milik suspek.

Katanya, ia dilakukan selepas pihaknya pulang dari sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak hari ini.

“Suspek mengusahakan dan bekerja sambilan di kebun ubi itu. Namun kebun ubi itu bukan miliknya.

“Siasatan selesai (di Klan Halt) dan pasukan siasatan telah balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk analisa kereta suspek,” ujarnya.

Ditanya mengenai operasi bagi mencari bahan bukti di Sungai Trolak, Asri berkata, operasi ditangguhkan hari ini.

“Penelitian dan pemantauan pihak IPD Mualim di Sungai Trolak mendapati masih belum mengizinkan bagi pasukan skuba meneruskan pencarian bahan bukti,” jelasnya.

Pada Rabu lalu, telefon bimbit dan beg tangan milik Nur Farah Kartini ditemukan dalam operasi pencarian bahan bukti yang dijalankan di Kampung Sri Kledang dan Kampung Batu 4, Trolak, Perak.

Beg tangan berwarna coklat itu ditemukan kira-kira 26 kilometer dari lokasi penemuan mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai kira-kira 6 petang pada Isnin lepas.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 26 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini termasuk rakan Allahyarham dan rakan sekerja suspek. – MalaysiaGazette