Siti Nur Balqiesh ditemui selamat ketika makan di kedai makan berhampiran stesen bas di Pasir Gudang, petang semalam

KOTA TINGGI – Seorang bapa menafikan anak remaja perempuannya hilang Khamis lalu kerana lari mengikut teman lelaki, sebaliknya berselisih faham dengan ibunya berkenaan kursus pengajian di sebuah kolej di Tampoi, Johor Bahru.

Rasid Sulaiman berkata, cerita sebenar adalah anak sulung daripada empat beradik itu berselisih faham dengan ibunya berkaitan hasratnya mahu menukar kursus pengajian di kolej kemahiran tersebut.

“Dia (Siti Nur Balqiesh) dalam proses sambung belajar peringkat diploma dalam bidang kosmetologi, tapi baru-baru ni dia nak tukar kursus kepada kimpalan atau mesin peralatan.

“Pensyarah dia terangkan tidak boleh tukar kursus kerana perlu belajar dari mula balik dan melibatkan kos lain. Isteri saya ada terangkan masalah ini, namun dia tidak boleh terima,” tulis Rasid dalam Facebook.

Terdahulu Siti Nur Balqiesh bertindak lari dari rumah keluarganya di Bandar Penawar, di sini, pada pukul 7 malam Khamis lalu dengan membawa satu beg plastik dipercayai mengandungi pakaian.

Kehilangan remaja berkenaan tular dalam media sosial dan keluarga yang mencarinya gagal menemui remaja berkenaan sebelum meminta bantuan polis daerah ini.

Selepas hampir tiga hari kehilangan remaja itu, Siti Nur Balqiesh akhirnya berjaya ditemui di sebuah kedai makan di Pasir Gudang oleh seorang anggota polis bantuan.

Rasid melahirkan rasa syukur dan lega apabila anaknya itu ditemui dalam keadaan selamat.

“Alhamdulillah, berkat doa daripada semua orang, anak saya selamat ditemui. Terima kasih Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan anggota polis bantuan Mohd Afiq Danial yang menjumpai anak saya sebelum hubungi isteri saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Husin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berkenaan Khamis lalu yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Penawar. – MalaysiaGazette