Anggota polis membawa suspek bagi membantu proses pencarian bahan bukti di lokasi kawasan ladang kelapa sawit susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Polis akan melanjutkan tempoh reman suspek dalam kes bunuh penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah yang berakhir esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu untuk tujuan tersebut.

“Ya, suspek akan dibawa ke sana tapi hanya untuk mohon tempoh sambung reman, terima kasih,” katanya secara ringkas menerusi hantaran Whatsapp.

Ahmad Faizal Tahrim

Pada 18 Julai lalu, Ketua Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, lanjutan reman itu akan dipohon susulan masih terdapat banyak aspek siasatan yang masih belum diselesaikan.

“Siasatan masih di peringkat awal, polis akan buat permohonan untuk melanjutkan tempoh reman suspek,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 26 saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan terdiri daripada kenalan dan rakan sepejabat mangsa serta saksi awam.

Hussein juga memaklumkan, beberapa anggota polis yang merupakan rakan sepejabat suspek turut dipanggil bagi membantu siasatan.

Pada 15 Julai lalu, mayat Nur Farah Kartini, 25, ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira jam 6 petang.

Bekas graduan UPSI itu dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Rentetan itu, suspek merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal bertugas di Balai Polis Slim River, Perak ditahan pada hari yang sama. – MalaysiaGazette