Ketua Eksekutif NIC, Zuraimy Abd Ghani menerima penghargaan Eduation Tourism MDCC dari Pegawai Pemantau Operasi DatumCorp International Sdn Bhd, Tengku Khairil Azwan sempena Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Hari Terbuka National Integrated College (NIC) yang berlangsung di Datum Jelatek Shopping Mall di sini menjadi tumpuan warga kota serta para pengunjung dari pelbagai destinasi.

Program yang bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang menyaksikan penganjur utama iaitu NIC berkolaborasi dengan Datum Jelatek Shopping Mall, Datumcorp International Sdn Bhd (DCI), BECTA Training Academy dan portal berita MalaysiaGazette.

Tarikan utama program sehari ini pastinya perkongsian maklumat mengenai peluang pembelajaran yang ditawarkan di NIC bukan saja untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah terbuka kepada mereka yang telah memasuki alam pekerjaan tetapi masih berminat untuk meraih segulung ijazah.

Pegawai Pemantau Operasi DatumCorp International Sdn Bhd, Tengku Khairil Azwan Tengku Abdul Samad bersama barisan wakil pempaper pada Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 20 JULAI 2024.

Lebih 400 pengunjung hadir memeriahkan Hari Terbuka NIC yang turut disertai agensi-agensi berkaitan pembiayaan pendidikan dan penyediaan peluang pekerjaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Institut Kesihatan dan Keselematan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan HRD Corp.

Turut terlibat Yayasan Tahfiz Annisa dan Casamas Resources Sdn Bhd.

Pelbagai aktiviti pentas seperti cabutan bertuah dan Pencarian Hos MalaysiaGazette turut diadakan sempena Hari Terbuka NIC.

Lebih menarik lagi orang ramai juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan di reruai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Titiwangsa. Pempengaruh DahliaRizal dan Chef Riz juga tampil dalam program yang julung kali dianjurkan NIC.

Suasana sekitar Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 20 JULAI 2024.

Datum Jelatek Shopping Centre diplih sebagi lokasi utama program ini kerana kedudukannya yang strategik serta dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan awam termasuk LRT selain menyediakan ruang parkir yang cukup luas.

Sempena program pendidikan ini, NIC turut diberi penghormatan untuk menerima anugerah Kluster Education Tourism dari Malaysia Datum Cultural Centre (MDCC) seiring dengan hala tuju MDCC sebagai Hub Pelancongan Negara yang menawarkan kerjasama dalam bentuk sokongan termasuk lokasi acara.

MDCC merupakan satu lagi inisiatif DCI sebagai anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam menyokong aspirasi Kementerian Pelancongan untuk mewujudkan produk baharu pelancongan di Malaysia.

Hadir pada program ini Pegawai Pemantau Operasi DCI yang juga Penasihat Projek MDCC, YM Tengku Khairil Azwan YM Tengku Abdul Samad; Ketua Pengurusan Kewangan DCI, Salina Said; Ketua Pengurusan Perkhidmatan Korporat/Pengarah Projek MDCC, Suzana Zakaria serta barisan pengurusan dan ketua jabatan DCI. – MalaysiaGazette