Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini

PEKAN – UMNO Pekan akan terus memperjuangkan keadilan dan pembebasan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan membawa suara usul berkaitan isu itu dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Pekan.

Ketua UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebagai anak didik pemimpin besar itu beliau optimis  dan berharap agar Najib dapat dibebaskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berhenti berjuang dan sentiasa mencari jalan agar keadilan berpihak kepada bekas Ahli Parlimen Pekan dan dibebaskan.

”Kita merasai kehilangan dengan ketiadaan bekas pemimpin yang telah menabur bakti di Pekan selama 41 tahun.

“Kita telah kehilangan seorang pemimpin yang suatu ketika dahulu banyak berjasa untuk negara, negeri dan bumi Pekan ini,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan hari ini.

Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan itu telah dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini.

Sementara itu Onn Hafiz dalam ucapannya berharap agar orang Pekan menghayati apa yang telah ditinggalkan dan peranan yang telah dilakukan Najib kepada rakyat di daerah itu.

Tinjauan MalaysiaGazette sempat meninjau jualan buku Keputusan Akhir Dari Pekan ke Penjara di ruang masuk dewan konvesnyen yang mendapat sambutan oleh peserta persidangan.

Buku Keputusan Akhir dari Pekan ke penjara tulisan Ariff Lias

Terdahulu pada 8 Julai lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim mengumumkan akan membawa usul isu Najib ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Ogos depan.

Usul berkenaan berkaitan dengan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 terhadap bekas perdana menteri itu. – MalaysiaGazette