KUALA LUMPUR – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, TVET diperkenalkan bagi memenuhi permintaan perindustrian serta menyumbang kepada pertumbuhan negara.
Dengan adanya bidang TVET, peluang anak muda negara dalam mengejar kerjaya sangat meluas.
Pengarah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Dalila Sharingat berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET telah pun mencapai 95 peratus.
“Berdasarkan kepada tinjauan yang dibuat dalam tempoh enam bulan selepas pelajar tamat latihan, kita dapati bahawa secara puratanya 95 peratus pelajar kita telah pun mendapat pekerjaan.
“Apa yang saya nampak, untuk kebolehpasaran pelajar-pelajar TVET ini, tidak menjadi isu,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Ts. Ahmad Hamdi Ibrahim berkata, permintaan latihan yang lebih fleksibel daripada kalangan belia merupakan cabaran utama industri TVET pada hari ini.
“Generasi kini, mereka minat TVET tetapi mereka tidak mahu berada terlalu lama dalam institusi, yang mana mereka ingin belajar dan mendapat pendapatan,” katanya.
“Terutamanya di GiatMARA, kami cuba memikirkan inisiatif baru dalam menangani cabaran dengan melaksanakan urban TVET yang mana latihan itu boleh difleksibelkan sesuai dengan belia-belia hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Platform MG terbitan MalaysiaGazette dengan kerjasama Datum Jelatek Shopping Centre selaku penaja lokasi dan Datumcorp International Sdn Bhd yang bertajuk TVET: Adakah Malaysia Terlewat.
Turut menjadi ahli panel Pengarah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Dalila Sharingat dan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
Sementara itu Dr Anuar Ahmad berkata, walaupun Malaysia sedikit terlewat berbanding negara-negara yang maju tetapi negara telah pun menjadikan bidang TVET ini sebagai salah satu daripada aliran Utama dalam sistem pendidikan di Malaysia.
“Kita mempunyai peluang yang banyak kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang TVET.
“Pelajar mesti merebut peluang ini supaya mereka dapat menjadi pekerja yang mahir khususnya dalam aliran TVET yang telah mereka ceburi,” katanya. – MalaysiaGazette