Kira-kira 25 mangsa sindiket penipuan pelaburan patuh syariah tampil membuat laporan polis di Pulau Pinang bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap individu yang memperdayakan RM5 juta daripada mereka.

BAYAN LEPAS – Kira-kira 25 mangsa yang terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan patuh syariah yang menjanjikan imbuhan lumayan menuntut keadilan dengan menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap syarikat tersebut.

Ia susulan rata-rata mangsa mendakwa individu yang terlibat secara langsung dengan syarikat pelaburan itu masih bebas meskipun ramai menjadi mangsa penipuan mereka.

Menurut mangsa, Ruzianzan Ibrahim, 40, dia mengalami kerugian RM40,000 akibat terpedaya dengan sindiket tersebut yang menjanjikan pulangan hibah berjumlah 10 peratus.

“Bab kerugian duit memang saya reda tapi saya mahukan keadilan buat kami semua.. segala keperitan yang kami alami impak daripada penipuan ini kami nak sindiket tu pun rasa.

“Kami mahu pihak berkuasa jalankan semula siasatan terhadap mereka sekali gus bawa ke muka pengadilan agar tindakan lebih tegas dikenakan kerana mereka telah didakwa sebelum ini namun dilepaskan tanpa dibebaskan.

Ruzianzan.

“Selain itu, saya juga harap dengan tindakan yang dikenakan terhadap sindiket itu tiada lagi mangsa akan diperdayakan oleh mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Lepas, di sini, hari ini.

Bagi ibu tunggal, Shahrija Aishah Nagoor, 54, dia terpedaya dengan sindiket tersebut demi memastikan kehidupan dua anaknya yang masih sekolah lebih terjamin.

“Meskipun telah diperdaya beberapa tahun lalu tapi saya tampil buat laporan polis hari ini selepas lihat sindiket itu masih bebas meskipun mangsa lain telah membuat laporan ke atas mereka.

“Saya mahukan keadilan buat diri saya dan anak-anak.. mana pergi duit yang mereka (sindiket) ambil daripada mangsa-mangsa seperti kami ini.

Shahrija Aishah.

“Duit faraid harta pusaka arwah suami berjumlah RM45,000 diperdaya lelaki yang dikenali ketika mengubah suai rumah kami pada 2018.. kesemua wang itu diberikan secara berperingkat kepada individu berkenaan sehingga tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim meminta mengkaji semula laporan mangsa penipuan pelaburan agar ia disiasat mengikut salah laku jenayah.

“Jika setiap skim pelaburan yang bersandarkan sesuatu perjanjian skim pelaburan dianggap sebagai kes sivil, maka jenayah penipuan dan pemerdayaan dan pecah amanah dengan mudah dapat dihalalkan dan dilepaskan daripada bebanan perundangan jenayah.

Hishamuddin.

“MHO menyeru pihak berkuasa agar lebih peka dan agresif dalam soal yang melibatkan kes-kes penipuan pelaburan agar sesuatu perjanjian pelaburan atau perjanjian pernigaaan tidak dengan mudah sewenang-wenangnya digunakan sebagai alasan untuk melepaskan diri daripada tindakan perundangan jenayah.

“Justeru itu, besar harapan daripada mangsa-mangsa yang terlibat supaya pihak polis dapat memberi perkembangan siasatan kes yang terperinci terhadap skim pelaburan yang disyaki tidak sah ini yang mana mereka telah menipu dan memperdaya golongan rakyat marhaen yang tidak bernasib baik ini,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, sindiket sama telah mengaut keuntungan RM20 juta dengan menggunakan modus operandi sama menipu kira-kira 90 mangsa dalam negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast