Kapal tangki MT Ceres I ditunda sambil dipantau kapal peronda luar persisir (OPV) KM Pekan milik Maritim Malaysia ke perairan Sedili, Kota Tinggi hari ini untuk siasatan lanjut daripada pihak JLWS

KOTA TINGGI – Dua kapal dagang asing yang berlanggar pada kedudukan 25 batu nautika perairan Tanjung Balau dekat sini Jumaaat lalu sehingga menyebabkan tumpahan minyak ditunda ke perairan Sedili kira-kira 20 batu nautika timur Tanjung Sedili dekat sini hari ini.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, tindakan tersebut bagi membolehkan pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) melakukan siasatan lanjut dan mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berkata, bagi pengurusan kawalan tumpahan minyak yang dilaporkan sebelum ini akan dikoordinasikan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sehubungan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kes pelanggaran kapal tangki MT Ceres I dengan kapal MT Hafnia Nile ditamatkan pada pukul 1 petang tadi selepas semua krew kapal terbabit disahkan selamat dan kebakaran kapal sudah dapat dikawal sepenuhnya.

“Semua 22 kru kapal tangki MT Hafnia Nile serta 14 orang kru kapal tangki MT Ceres I berada dalam keadaan selamat dan stabil di Singapura.

“Sementara baki 26 kru kapal tangki MT Ceres I disahkan selamat berada di atas kapal MT Ceres I berdasarkan laporan daripada nakhoda kapal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Maritim Johor dilaporkan menggerakkan operasi SAR susulan insiden perlanggaran MT Ceres 1 yang berdaftar di Republik Sao Tome dengan kapal MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura pada awal pagi Jumaat.

Artikel berkaitan: Kapal MT Cares 1 yang ‘hilang’ sudah ditemui

Dua kapal dagang berlanggar di perairan Kota Tinggi

Maritim Johor menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian namun selama beberapa hari operasi gagal mengesan kapal dagang asing berkenaan.

Pihak Maritim Malaysia berjaya mengesan Kapal MT Ceres 1 pada kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman iaitu pukul 1.20 pagi semalam.

Turut ditemukan dua buah bot tunda sedang menunda kapal tersebut disyaki terlibat membawa lari kapal tangki MT Ceres I.

Sementara kapal MT Hafnia Nile pula dilaporkan hanyut sejauh 52 batu nautika dari lokasi kejadian dan berada di perairan Pulau Pemanggil, Mersing.

Kapal MT Hafnia Nile yang dinaiki 22 kru telah diselamatkan kapal Tentera Laut Singapura, RSS Supreme yang bertindak pasukan pertama memberi respon terhadap insiden terbabit dan kesemua kru dibawa ke Singapura untuk rawatan lanjut.- MalaysiaGazette