Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR- Empat remaja yang ditahan kerana didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun berhampiran Teluk Intan, Perak, dilaporkan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, remaja berusia di antara 14 dan 17 tahun itu dibebaskan semalam (Ahad) selepas tempoh reman selama tiga hari tamat.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya.

“Sekiranya kami mendapat lampu hijau daripada TPR, pihak polis akan meneruskan kes dengan proses pendakwaan,” katanya ketika dihubungi sebuah portal berita.

Dalam pada itu, Ahmad Adnan berkata, pihak polis tidak boleh menahan reman suspek remaja lebih daripada tujuh hari.

Khamis lalu, seorang murid di sebuah sekolah di Teluk Intan mendakwa telah dirogol oleh empat remaja dalam beberapa kejadian berasingan.
Menurut mangsa, dia dirogol oleh dua remaja berusia 14 dan 16 tahun di dalam kereta selepas mengikut mereka bersiar-siar di air terjun, kira-kira 6.30 petang, 17 Julai lalu.
Kanak-kanak terbabit turut dirogol individu ketiga berusia 17 tahun selepas mangsa mengikut lelaki berkenaan pulang ke rumahnya kira-kira jam 8.30 malam, 18 Julai lalu.-MalaysiaGazette