Muhammad Hafizul didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol seorang kanak-kanak perempuan di Mahkamah Sesyen, Muar, hari ini.

MUAR – Seorang kelindan lori mengaku dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol seorang kanak-kanak perempuan pada April tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizul Haziq Zulkefli, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berusia 13 tahun bagi maksud seksual pada pukul 2 petang, April 2023.

Kesalahan itu dilakukan di bilik tidur sebuah rumah di Kampung Renchong, Pagoh, di sini.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta Sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tidak lebih 20 tahun serta boleh dihukum dengan hukuman sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan tersebut di tempat dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast