KPDN Pulau Pinang menjalankan siasatan terhadap pengendali sebuah stesen minyak di Sungai Bakap yang dikatakan menjual RON95 kepada kenderaan pendaftaran Thailand.

NIBONG TEBAL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menjalankan siasatan terhadap pengendali sebuah stesen minyak di kawasan hentian rehat Sungai Bakap di sini, susulan membenarkan kenderaan asing mengisi RON95.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, pihaknya mengesan gambar tular memaparkan sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand mengisi petrol bersubsidi sebelum menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan menerusi rakaman televisyen litar tertutup di stesen minyak tersebut mendapati kejadian berlaku jam 2.24 petang pada 20 Julai lalu.

“Susulan itu, kita telah menyita beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.

Pegawai KPDN memeriksa CCTV di stesen tersebut.

“KPDN memandang serius isu ini dan kita akan menjalankan pemantauan yang lebih agresif di semua stesen minyak terutama yang berdekatan dengan negeri sempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Jegan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 ( Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ) yang memperuntukkan penalti bagi individu iaitu didenda tidak melebihi RM1 juta  atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali  atau perbadanan/syarikat didenda tidak melebihi RM2 juta.

“Kita juga mohon orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pejabat KPDN berhubung sebarang kegiatan jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya. – MalaysiaGazette