KUALA LUMPUR – Penganjuran Beyblade X Southeast Asia Cup (SEA Cup) yang berlangsung semalam melakar sejarah apabila pertama kali dianjurkan Malaysia dan disertai empat negara lain seperti Singapura, Thailand, Filipina, dan Indonesia.
Kejohanan permainan gasing moden dari Jepun itu melibatkan dua kategori iaitu junior untuk umur 6 hingga 12 tahun dan kategori terbuka untuk umur 13 tahun ke atas.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, penganjuran acara ini merupakan detik penting dalam komuniti Beyblade yang meraikan ulang tahun ke-25 permainan tersebut dan meraih populariti berterusan sejak diperkenalkan pada tahun 1999.
“Di FINAS, kami komited untuk menyokong dan mempromosikan industri kreatif tempatan dan menggalakkan lebih ramai pemain tempatan untuk bekerjasama dengan jenama mega antarabangsa seperti Beybkade.
“Ia untuk menambah baik industri kreatif kita dan membuka pintu untuk belajar daripada kejayaan jenama-jenama seperti Beyblade bagi mempertingkatkan pengalaman penonton baik di dalam negara mahupun di peringkat global,” kata selepas ketika merasmikan pertandingan tersebut di Sunway Pyramid, semalam.
Azmir menambah, BeyBlade X SEA Cup bukan sahaja mempamerkan semangat kompetitif dan bakat peserta tetapi juga menyerlahkan usaha kerjasama pemain industri tempatan dan antarabangsa dalam mempromosikan dan mengembangkan jenama permainan itu di Asia Tenggara.
Semetera itu, pada majlis sama, turut diadakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Takaratomy dan ADK Emotions Inc, kedua-duanya dari Jepun dengan dua syarikat tempatan, Animasia Studio Sdn. Bhd. dan One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP).
MOU itu menggariskan peranan Takaratomy sebagai pemberi lesen dan mainan utama, ADK Emotions Inc. sebagai pemberi lesen, Animasia sebagai pemegang lesen utama jenama Beyblade (bukan mainan, penerbitan dan acara) di Malaysia, Indonesia, Singapura & Brunei dan OUP sebagai penganjur acara, rakan promosi dan pembangunan jenama.
Kerjasama ini bertujuan untuk memudah carakan penganjuran acara BEYBLADE X berskala besar di Malaysia dalam tempoh tiga tahun mendatang, mengembangkan jenama Beyblade melalui perkongsian strategik dan inisiatif pemasaran dan berhubung dengan peminat tempatan, dengan Litt Tak Sdn. Bhd. bertindak sebagai pengedar mainan rasmi di Malaysia.
Usahasama ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai peminat di seluruh rantau Asia Tenggara, mendekati penyokong setia Beyblade dan merekrut pemain baru melalui acara serantau sekaligus mempromosikan Beyblade X sebagai sejenis sukan kompetitif.
Penganjuran kejohanan ini juga diiringi dengan pelancaran siri televisyen Beybalde X terbaru di Astro CERIA yang mula ditayangkan pada 18 Julai allu.
Siri ini mengikuti pengembaraan watak-watak utama, Kurosu Ace, Kazami Bird, dan Nanairo Multi dalam mengharungi pelbagai cabaran untuk menakluki X Tower. – MalaysiaGazette