Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

BALING – Perjalanan seorang pelajar Tingkatan Enam ke sekolah berakhir dengan tragedi selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan membabitkan dua kenderaan lain di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari, Kampung Bongor 3, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, Siti Umairah Alias, 18, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz itu dalam perjalanan dari rumah di Kampung Bandar menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Baling.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah motosikal ditunggang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun dari laluan sama tiba-tiba bertindak mengubah laluan ke kanan untuk membelok ke simpang sebelum bergesel dengan motosikal mangsa.

Siti Umairah.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan bertembung di hadapan sebelah kanan kereta Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah bertentangan.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa melambung dan jatuh di tengah jalan manakala penunggang Modenas Kriss 120 turut jatuh di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Shamsudin, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepala dan muka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

“Manakala penunggang lelaki yang mengalami kecederaan ringan itu ditahan susulan didapati tiada lesen memandu.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette