KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam sebuah kereta, Mei tahun lepas.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap pemandu lori, B. Satia, 27 dan rakannya T. Khanesen, 31, yang kini bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Selepas mahkamah mengambil kira mitigasi dan pemberat yang diteliti seadilnya, perintah bon berkelakuan baik yang dimohon kedua-dua tertuduh adalah tidak wajar dan tidak sesuai diberikan,” katanya yang memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.
Terdahulu, peguam Muhammad Amin Abdullah dan K. Ponnusamy, masing-masing mewakili Satia dan Kanesen memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik mengambil kira faktor kedua-dua tertuduh merupakan penanggung utama keluarga dan pesalah kali pertama.
“Kami juga memohon satu penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi,” kata Ponnusamy.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin membantah permohonan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kerana kesalahan yang dilakukan adalah jenayah rogol iaitu kesalahan yang serius.
“Pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh supaya mereka dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.
“Pendakwaan memohon hukuman pemenjaraan serta merta bagi menunjukkan penekanan masyarakat supaya pesalah dihukum dan yang paling penting bagi melindungi kaum wanita,” kata Nur Aisyah.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM9,000 kepada RM11,000 bagi memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh pada prosiding akan datang.
Seramai 14 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh telah dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula Februari lalu.
Pada 24 Mei tahun lalu, Satia didakwa telah merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam kereta jenis Honda City di kawasan pusat hiburan, Jalan Tun Razak, Maluri di sini, pada pukul5.20 pagi, 13 Mei tahun lalu.
Khanesen turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama, pada 5.06 pagi di tempat sama.
Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat. – BERNAMA