Dua lelaki dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru, hari ini, bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan hilang sejak Sabtu lalu.

JOHOR BAHRU – Tiga suspek yang ditahan bagi membuat siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu  tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini pagi ini.

Suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu dikawal ketat anggota polis serta bergari tiba di pekarangan kompleks mahkamah pukul 8.45 pagi.

Seorang wanita ditahan dan dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru, hari ini, bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan hilang sejak Sabtu lalu.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dan ungu itu dibawa mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

 

Sebelum itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 55 tahun ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri, dekat sini pada pukul 1.30 petang semalam.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar menerusi kenyataannya malam tadi memberitahu, kanak-kanak perempuan berkenaan, Albertine Leo Jia Hui, 6, sehingga kini masih belum ditemui.

“Siasatan dijalankan bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah,” katanya.

Kanak-kanak perempuan tersebut disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu di lokasi kejadian terbabit.

Kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar Mickey Mouse di bahagian dada dan berseluar pendek.

Sejak Jumaat lalu, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan berkenaan sesak dengan kehadiran pengunjung.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang awam mengesan kanak-kanak itu di Bangunan Sultan Ismail di sini bersama-sama seorang lelaki yang didakwa sedang dalam perjalanan ke Singapura. – MalaysiaGazette