Suspek kelima yang terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini untuk direman selama tujuh hari

JOHOR BAHRU – Seorang lagi suspek yang ditahan berhubung kes penculikan kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria di Iskandar Puteri, Sabtu lalu direman tujuh hari.

Perintah reman terhadap suspek lelaki yang berusia 31 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret, di sini, bermula hari ini hingga Isnin ini.

Perintah tahanan reman terhadap suspek kelima kes itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar selepas membenarkan permohonan dibuat pihak polis.

Tempoh reman berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Terdahulu suspek berkenaan yang memakai baju-T festival Bon Odori Johor tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 3 petang.

Artikel berkaitanIbu kanak-kanak hilang minta henti sebar berita palsu

Pada sebelah pagi, empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 55 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan mendapat perintah reman empat hari.

Semalam, tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan pada pukul 1.30 petang di sekitar Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Susulan itu, seorang lagi wanita ditahan pada tengah malam 12.15 tengah malam tadi sebelum suspek kelima berkenaan ditahan jam 4.45 pagi tadi di Batang Kali, Selangor.

Suspek kelima itu ditahan bersama-sama kanak-kanak perempuan berkenaan di sebuah hotel murah dalam keadaan selamat.

Sebelum itu, Albertine Leo Jia Hui, 6, yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam di lokasi kejadian terbabit.

Sejak Jumaat hingga Ahad, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan berkenaan sesak dengan kehadiran pengunjung.

Kehilangan kanak-kanak tersebut tular dalam media sosial sehingga pelbagai spekulasi dan khabar angin tersebar termasuk ada pihak melihatnya bersama-sama seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini untuk masuk Singapura. – MalaysiaGazette

Culik kanak-kanak: Tiga suspek direman empat hari