Dua lelaki dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru, hari ini, bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan hilang sejak Sabtu lalu.

JOHOR BAHRU – Dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan berhubung kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun direman empat hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Suhaili Sapun selepas membenarkan permohonan dibuat pihak polis.

Tempoh reman yang bermula hari ini sehingga Jumaat depan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dua suspek lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru masing-masing yang berpakaian lokap berwarna oren dan ungu pada pukul 8.45 pagi diiringi anggota polis dengan tangan bergari.

Seorang lagi suspek iaitu wanita tiba 10 minit kemudian dengan pakaian lokap warna oren dikawal ketat oleh anggota polis wanita.

Semalam, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 28 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Albertine Leo Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu lalu ketika berada di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini.

Kes kehilangannya itu diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

Satu sidang media Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berhubung kes berkenaan akan diadakan pukul 11 pagi ini. – MalaysiaGazette