Kerja-kerja pembersihan dilakukan di lokasi yang tercemar. Foto LUAS

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang menyebabkan pencemaran di Sungai Kundang dan Sungai Sembah sehingga mengakibatan empat loji rawatan air terpaksa dihenti tugas sementara.

Penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) mengakibatkan tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

LUAS berkata, Jabatan Air dan Saliran (JAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga akan mengambil tindakan yang berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing terhadap premis tersebut.

Menurutnya, LUAS telah melaksanakan pemantauan intensif bermula Isnin lalu sehingga semalam di Sg. Kuang, Sg. Kundang, Sg. Sembah dan Sg. Selangor, yang mana bacaan bau dan pemerhatian keadaan aliran sungai dianalisa dan disemak setiap 30 minit.

“LUAS juga telah melaksanakan langkah-langkah mitigasi terhadap pengesanan bau abnormal di lokasi-lokasi berkaitan dan air mentah telah berjaya disalurkan semula bermula jam 3 sehingga 5 petang tadi kepada loji-loji rawatan air utama negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tambahnya, tindakan kerja-kerja pembersihan oleh premis terlibat susulan Surat Arahan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 di kawasan lokasi yang terjejas dan terkesan dengan bahan pencemar tersebut juga telah dilaksanakan.

Kerja-kerja itu dipantau rapi oleh LUAS dan telah selesai sepenuhnya pada jam 11 malam tadi.

Verifikasi LUAS di semua lokasi berkenaan mengesahkan bacaan 0 ton dan tiada lagi kesan bahan tersebut ditemui.

Namun LUAS akan meneruskan pemantauan di lokasi-lokasi terlibat ini dan sentiasa bersiap siaga untuk tindakan-tindakan mitigasi yang perlu. – MalaysiaGazette