KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air terawat yang bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna.

Pengurusan Air Selangor berkata, sehingga jam 6 pagi tadi, peratusan pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terlibat telah mencapai 9.9%.

Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 40% pada jam 8 pagi, esok, 25 Julai 2024 diikuti dengan 90% pada jam 8 malam.

Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 8 pagi hari Jumaat, 26 Julai 2024.

Untuk makluman, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai.

Gangguan air di tujuh wilayah disebabkan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah. – MalaysiaGazette