Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Seorang kerani wanita yang bekerja di sebuah bank di Kuala Kangsar, Perak dipercayai memindahkan wang lebih RM2.4 juta ke 11 akaun berlainan, termasuk akaun syarikat, sebelum membunuh diri pada 5 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wang terbabit dikeluarkan suspek dari tiga akaun simpanan tetap yang melibatkan 108 transaksi sejak 14 Februari 2023 hingga 24 Jun lalu.

Katanya, wang itu diselewengkan ke akaun yang disyaki milik individu yang mempunyai pertalian saudara dengan suspek.

“Pendeposit yang berusia 69 tahun telah menyedari bahawa wang telah dikeluarkan pada 5 Julai lalu daripada akaun simpanannya sebelum tampil melaporkan perkara itu terhadap pihak bank pada waktu pagi hari sama sebelum suspek mengambil nyawa sendiri di sebelah petang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada 12 Julai lalu, polis polis menerima laporan daripada kakitangan bank di Kuala Kangsar yang memaklumkan bahawa salah seorang kakitangannya telah melakukan penyelewengan.

Menurut Ramli, siasatan mendapati kebanyakan wang tersebut telah digunakan dan kes itu tetap disiasat meskipun suspek telah meninggal dunia. – MalaysiaGazette