Mahkamah Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL.

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen hari ini memaklumkan ibu bapa dan keluarga kanak-kanak autisme yang meninggal dunia tahun lalu, Zayn Rayyan Abdul Matiin membuat laporan terhadap pihak berkuasa sekiranya tidak berpuas terhadap kandungan TikTok yang dimuat naik berhubung kes tersebut.

Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat ketetapan berkenaan selepas mendengar permohonan perintah larangan daripada pihak peguam bela terhadap lima akaun aplikasi itu yang dianggap memuat naik video dan mengundang komen subjudis.

“Bagi mahkamah sekiranya terdapat apa-apa aduan perkara ini ia boleh dibuat kepada pihak berkenaan supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat komen subjudis dan menghina mahkamah.

Terdahulu peguam bela, Fahmi Abd Moin ketika membuat permohonan perintah larangan daripada mahkamah berkata, terdapat beberapa video yang ditularkan di aplikasi TikTok yang dianggap berunsurkan buli siber selain mengeluarkan kenyataan subjudis.

“Kami hari ini hanya merujuk lima sahaja dulu (akaun TikTok) nama-nama pengamal TikTok untuk kami mohon perintah larangan.

“Nama-nama itu adalah CEO Zayn Rayyan; myraskitchen00; Cikpika_pika_ii; BeMalaysian2.0 dan Malaikatmaut382,” katanya.

Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari keluar selepas selesai prosiding sebutan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme ketika di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2024.

Sebagai rekod, hari ini merupakan tarikh sebutan kes kematian Zayn Rayyan yang ditemui tidak bernyawa di anak sungai berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam, 6 Disember tahun lalu.

Kedua ibu bapanya Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dituduh mengabaikan anak mereka, sebagai mana tertakluk di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. – MalaysiaGazette