BALIK PULAU – Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak 21 Julai lalu ditemui dalam keadaan selamat semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa ditemui di pekarangan sebuah masjid di Teluk Kumbar oleh orang awam pada jam 11.50 pagi.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa mendapati remaja perempuan itu telah dihantar ke asrama sebuah institusi pendidikan swasta di sini, pada 21 Julai lalu.

“Kehilangan mangsa hanya diketahui keluarga selepas mereka menghubungi pihak institusi pendidikan tersebut semalam untuk bertanyakan keadaan kesihatan remaja itu sebelum dimaklumkan dia tidak memasuki sesi pembelajaran serta tiada di asrama sejak 21 Julai.

“Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis dan beberapa jam kemudian remaja itu telah ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi MalaysiagGazette hari ini.

Tambah Kamarul Rizal, pemeriksaan awal fizikal mangsa mendapati berada dalam keadaan baik namun dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Semalam pengguna Facebook, Farhan Daud merayu orang ramai mengesan anak saudaranya, Nur Maisarah Husna, 17, yang dilaporkan hilang sejak 21 Julai lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast