Tangki air di tingkat 27 melimpah punca lif di Komtar dihentikan operasi buat sementara waktu.

GEORGE TOWN – Operasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri termasuk jabatan serta agensi negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) berjalan seperti biasa, kata PDC Setia Urus Sdn Bhd (PDCSU).

Ia susulan 12 lif di bangunan setinggi 68 tingkat itu dihenti operasi sementara akibat limpahan air dari tangki di tingkat 27 hari ini.

Menurut PDCSU, pihaknya bersama kontraktor lif kini sedang bertungkus lumus menjalankan pemeriksaan dan ujian keselamatan pengoperasian ke atas lif yang terjejas supaya kesemuanya dapat beroperasi semula secepat mungkin.

“Kejadian itu dikesan pada jam 3.15 pagi tadi oleh pengawal keselamatan yang bertugas sebelum juruteknik PDCSU mendapati limpahan air memasuki kawasan lif.

“Siasatan awal mendapati berlaku ‘over flow’ (limpahan) dari tangki air berkenaan dan juruteknik PDCSU berjaya menghentikan aliran air daripada keluar.

“Berikutan itu, atas faktor keselamatan, pihak pengurusan terpaksa menghentikan operasi lif yang terjejas buat sementara waktu, namun sebanyak empat lif Zon Rendah (Low Zone) tidak terjejas beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah kenyataan itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri termasuk jabatan dan agensi negeri di bangunan itu beroperasi seperti biasa.

“Walaubagaimanapun, kelonggaran Bekerja Dari Rumah diberi kepada pegawai dan staf yang mengandung serta mempunyai masalah kesihatan.

“Keadaan adalah terkawal dan sebarang kesulitan amat dikesali,” katanya.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan sekurang-kurangnya 12 lif di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri di sini, terpaksa dihentikan operasi selepas tangki air di tingkat 27 bangunan itu melimpah.

Kejadian itu tular selepas beberapa keping gambar menunjukkan penjawat awam berkumpul di tingkat bawah bangunan tersebut susulan tidak dapat mengakses lif ke pejabat masing-masing. – MalaysiaGazette