Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tan Seri Nik Norzul Thani Nik Hassan Thani berucap semasa program Majlis Bersama Media di Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menjadi pilihan pelajar dari Palestin walaupun perang masih berlaku di Gaza dan Tebing Barat.

Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, ketika ini, terdapat 135 pelajar Palestin menyambung pengajian di universiti itu.

Jelasnya, selain yuran pengajian yang rendah iaitu sama kadar bayaran pelajar tempatan, mereka juga mendapat tajaan bagi menyambung pengajian sama ada secara langsung di Malaysia atau menerusi dalam talian di Gaza.

“Ada antara pelajar Palestin ini berada di Malaysia dan ramai juga yang berada di Gaza. Kami ada jabatan khas untuk memantau perkembangan mereka dan menghulurkan pertolongan jika semampu mungkin.

“Kami hendak mereka meneruskan pelajaran dan selepas tamat pengajian mereka boleh bina semula Gaza. Ini yang paling utama. Mereka yang berada di sini hanya mendapat perlindungan sementara dan kita akan hantar mereka pulang (selepas perang tamat) untuk membina Gaza.

“Ini cara USIM menolong mereka. Lain orang sumbang duit, kita ada ilmu dan kepakaran. Dengan harapan selepas mereka tamat pengajian mereka akan pulang dan membina semula Gaza yang lebih baik,” kata beliau kepada media.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tan Seri Nik Norzul Thani Nik Hassan Thani bergambar bersama ahli USIM dan Media pada program Majlis Bersama Media di Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2024.

Menurut Nik Norzrul Thani, tahun lalu USIM membelanjakan hampir RM260,000 hanya untuk pembayaran yuran pelajar Palestin yang diperoleh melalui zakat serta sumbangan syarikat dan individu.

Beliau mengalu-alukan lebih ramai pihak tampil untuk menjadi penaja kepada pelajar Palestin untuk meneruskan pengajian di USIM.

Katanya, USIM menjadi pilihan utama pelajar Palestin kerana bahasa pengantar utama di universiti itu adalah Bahasa Arab dengan kebanyakan mereka menyambung pelajaran peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah.

Nik Norzrul Thani ditemui selepas Majlis USIM Bersama Media yang berlangsung hari ini selesai.

Turut hadir Naib Canselor USIM Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan lebih 150 pengamal media.

Pada majlis itu turut ditayangkan dokumentari pendek bertajuk The Great Sacrifice yang memaparkan kecekalan tiga pelajar dan staf USIM meneruskan pengajian dan menyampaikan ilmu walaupun berhadapan serangan hebat Israel.

“Melihat mereka menjawab dalam runtuhan tidak seperti pelajar biasa. Kita manusia dan pengalaman sedih mereka memberi kesan di hati.

“USIM memperlihatkan kepada dunia bagaimana punkepayahan dan kesusahan. Keinginan untuk belajar ada. USIM membantu dengan apa cara termasuk menerbitkan mini dokumentari.

“Walaupun perang, belajar tetap belajar. Menggunakan teknologi buat peperiksaan secara dalam talian. Mereka jawab dengan baik dan berjaya. Mereka amat cekal dan bersemangat untuk menyambung pelajaran dan mempertingkat kehidupan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pelajar USIM maut dalam pengeboman Israel dan terbaharu tular seorang pelajar Ijazah Doktor Falsafah USIM nekad menjalani Ujian Kelayakan berlatarbelakangkan runtuhan bangunan akibat dibom Israel.

Untuk rekod Israel telah menyerang Gaza dan Tebing Barat lebih sembilan bulan yang menyebabkan lebih 40,000 terbunuh kebanyakannya bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua.-MalaysiaGazette