JIM Pulau Pinang menyerbu sebuah pusat hiburan di Butterworth awal pagi tadi.

BUTTERWORTH – Tindakan wanita asing menjadikan teman lelaki warga tempatan sebagai ‘lesen’ untuk melanggar Akta Imigresen membawa padah selepas mereka diberkas Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi tadi.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, taktik itu terbongkar selepas pihaknya mendapati sebahagian daripada 15 wanita asing yang ditahan di pusat hiburan itu tinggal dalam negara melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Dalam serbuan itu kita menahan seramai 15 wanita asing terdiri daripada warga Thailand dan Laos yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Nur Zulfa.

“Hasil soal siasat mendapati sebahagian daripada mereka tinggal lebih masa di sini atas alasan mempunyai teman lelaki warga tempatan.

“Selain itu, ada juga yang didapati telah menyalahgunakan pas yang diberikan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Tambah Nur Zulfa, dalam serbuan sama, pihaknya menahan seorang lelaki Pakistan dan empat Myanmar yang merupakan pekerja pusat hiburan tersebut.

Lima lelaki asing yang merupakan pekerja premis turut diberkas selepas didapati melanggar Akta Imigresen.

“Hasil semakan mendapati kesemua mereka melanggar akta imigresen termasuk ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua tangkapan dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut dan siasatan akan dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mengulas mengenai serbuan, beliau menegaskan pemilik premis memberikan kerjasama ketika serbuan namun berlaku sedikit provokasi membabitkan pelanggan.

Kesemua tangkapan dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut.

“Memang ada berlaku sedikit provokasi tapi keadaan berjaya dikawal oleh pasukan serbuan.

“JIM Pulau Pinang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan membanteras aktiviti menyalahi undang-undang membabitkan warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette